26 bulan Warisan: Realiti rakyat Sabah miskin, pengangguran tinggi, jurang pendapatan melebar, ekonomi lembap
11:09 Sep 24, 2020  |  By SabahKini2
26 bulan Warisan: Realiti rakyat Sabah miskin, pengangguran tinggi, jurang pendapatan melebar, ekonomi lembap

Alasan Shafie Apdal semua salahkan Covid-19 sedangkan ekonomi menjunam 2018 dan 2019. 7 Negeri KDNK naik tetapi Sabah jatuh. mengapa? Realitinya 4 isu utama serangkai Sabah hadapi...

Sabah: Realiti Ekonomi & Kehidupan

Secara keseluruhannya, realiti ekonomi dan kehidupan rakyat Sabah kini penuh dengan pelbagai cabaran. Mengikut data Jabatan Statistik Malaysia, pada tahun 2019, Sabah mencatatkan jumlah kemiskinan mutlak tertinggi di Malaysia (19.5%), jauh lebih tinggi dari jumlah kemiskinan mutlak Malaysia (5.6%). Ini bermakna 1 daripada 5 isi rumah Sabah adalah miskin! Kemiskinan Mutlak adalah keadaan di mana pendapatan isi rumah tidak mencukupi untuk menampung keperluan hidup asas iaitu makanan, perlindungan dan pakaian.

Pada masa yang sama, 8 daripada 26 daerah pentadbiran Sabah mencatatkan jumlah kemiskinan mutlak melebihi 30%. Manakala daerah Tongod dan Pitas mencatatkan jumlah kemiskinan mutlak melebihi 50%! Kisah pelajar Veveonah Mosibin bermalam di atas pokok untuk mendapat capaian internet laju pada Jun 2020 berlaku di Pitas.

Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) digunakan sebagai pengukuran status kemiskinan sesuatu isi rumah. Pada tahun 2019, PGK Sabah ialah RM 2,537 sebulan, berbanding PGK Malaysia (RM 2,208). Ini merupakan PGK negeri ke-2 tertinggi di Malaysia, selepas W. P. Labuan (RM 2,633). Ini menunjukkan bahawa isi rumah Sabah menghadapi kos sara hidup yang tinggi, memerlukan pendapatan RM 2,537 sebulan untuk melepasi garis kemiskinan. Di Pitas, Pendapatan Isi Rumah Kasar Penengah ialah RM 1,999, iaitu Pendapatan Isi Rumah Kasar Penengah daerah terendah di Malaysia!

Tambahan kepada isu pendapatan isi rumah yang rendah, Sabah menghadapi situasi agihan pendapatan yang tidak sama-rata/ seimbang. Pada tahun 2019, Pekali Gini Sabah ialah 0.397, tertinggi di Malaysia. Sekiranya isu Pekali Gini ini tidak di tangani segera, jumlah kemiskinan bakal bertambah, seterusnya meningkatkan jumlah kemiskinan Sabah yang sudah tertinggi di Malaysia.

 

Cabaran Sabah lebih meruncing dengan pertumbuhan ekonomi yang lembap. Untuk dua tahun berturut-turut, Sabah mencatat pertumbuhan ekonomi negeri yang terendah di Malaysia – 1.5% (2018) dan 0.5% (2019). Malah, Sabah adalah satu-satunya negeri di Malaysia yang mencatat penurunan KDNK per kapita: RM 25,832 (2018) ke RM 25,333 (2019).

Pertumbuhan ekonomi yang lembap juga telah menyebabkan jumlah majikan perniagaan di Sabah telah menurun sebanyak 10% dalam tempoh satu tahun: 51,200 (2018) kepada 46,300 (2019). Akibatnya, kadar pengangguran di Sabah kekal tinggi pada 5.8%, berbanding kadar pengganguran Malaysia pada 3.3% pada tahun 2019.

Sabah kini menghadapi empat isu utama serangkairamai rakyat miskin, kadar pengangguran tinggi, pertumbuhan ekonomi yang lembap, serta jurang pendapatan yang besar antara kaya dan miskin. Penyatuan rakyat tidak mungkin tercapai di dalam situasi ini. Sebaliknya, ini boleh menyebabkan situasi kucar- kacir yang menjejaskan keamanan serta keselamatan Sabah. Hungry people are angry people!

Pemberian bantuan oleh Kerajaan kepada rakyat Sabah hanyalah penyelesaian jangka masa pendek untuk mengurangkan bebanan kehidupan seharian untuk jangka masa yang singkat sahaja. Ianya tidak menangani isu sebenar rakyat Sabah. Penyelesaian jangka panjang ialah menyediakan peluang pekerjaan menerusi pertumbuhan ekonomi yang mampan serta inklusif.

Transformasi sektor pertanian

Transformasi sektor pertanian boleh menjadi pemangkin kepada pertumbuhan serta kepelbagaian ekonomi Sabah. Ianya dapat mengurangkan kebergantungan tinggi (46.1%) kepada Sektor Perkhidmatan, yang teruk terjejas akibat pandemik Covid-19, yang akan mengambil masa yang lama untuk pulih sepenuhnya.

Sektor pertanian di Semenanjung Malaysia telah mula menggunakan Model Pertanian Pintar untuk meningkatkan produktiviti serta pendapatan para petani. Model Pertanian Pintar berlandaskan teknologi dapat memberi pelbagai kelebihan, termasuklah – peningkatan hasil tanaman, penjimatan kos, kurang kebergantungan kepada tenaga kerja manusia serta kelestarian alam sekitar.

Antara lain, ramai petani telah mula menggunakan teknologi dron untuk menggantikan kaedah konvensional untuk penyemburan pertanian. Organisasi perladangan juga menggunakan teknologi Artificial Intelligence (AI) untuk membuat analisa yang tepat dan pantas, untuk pengurusan serta operasi perladangan yang efisien.

Penggunaan Dron dalam pertanian

Kementerian Pertanian bertindak

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Malaysia (MAFI), di bawah kepimpinan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, telah mengorak langkah proaktif dengan mendukung serta mengguna-pakai Model Pertanian Pintar. Ini selaras dengan aspirasi Kerajaan di bawah IR4.0.

MAFI melihat kepada teknologi terkini seperti – dron, robotik dan Artificial Intelligence (AI), untuk melaksanakan agenda transformasi pertanian yang melibatkan automasi dan analisa data. Ini termasuklah pemetaan pertanian dan penyemburan pertanian.

Justeru itu, Sabah mesti sedia untuk menggerakkan agenda transformasi sektor pertaniannya bersama-sama dengan MAFI, yang di pimpin oleh anak Sabah sendiri.

Sabah mampu bangkit dan maju ke depan dengan di terajui oleh transformasi sektor pertanian.

[ARTIKEL BERKAITAN- Dr Ronald Kiandee teruskan agenda transformasi sektor pertanian Sabah ]

By AA

[ARTIKEL BERKAITAN- Teruknya Warisan! Ekonomi Menjunam, kos hidup tinggi, 1 daripada 2 orang miskin di Pitas ]

[ARTIKEL BERKAITAN- Veveonah, Pitas termiskin dan gagalnya Kerajaan Warisan di Sabah ]

 

10 Comments