Kerajaan Sabah agih 26,178 bakul makanan kepada rakyat terjejas Covid-19
23:10 Oct 15, 2020  |  By SabahKini2
Kerajaan Sabah agih 26,178 bakul makanan kepada rakyat terjejas Covid-19

Kerajaan GRS terus membantu rakyat yang terjejas Covid-19 di Sabah.

KOTA KINABALU: Sebanyak 26,178 bakul makanan (food basket)  diagih kerajaan negeri  kepada golongan sasar di Sabah.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Masidi Manjun berkata, pengagihan bakul makanan itu turut membabitkan ketua isi rumah (KIR) yang sedang menjalani kuarantin kendiri di kediaman masing-masing.

Kerajaan persekutuan juga sebelum ini telah bersetuju menyalurkan peruntukan berjumlah RM50 juta bagi membantu kerajaan negeri menangani penularan pandemik Covid-19 di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan.

Masidi yang juga menteri kewangan ke-2 berkata, kerajaan negeri amat mengharapkan semua pihak mempertingkatkan usaha dan peranan untuk memutuskan penularan jangkitan wabak itu.

“Kerajaan negeri merayu supaya semua penduduk mematuhi SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.


Aktiviti Ekonomi, Industri di Sabah dibenar beroperasi

Masidi turut menjelaskan kekeliruan tentang kebenaran beroperasi bagi semua sektor ekonomi, industri dan perniagaan yang sebelum ini hanya membenarkan perkhidmatan perlu (essential service) sahaja.

"Saya ingin menjelaskan bahawa SOP yang digunakan oleh seluruh negeri Sabah pada ketika ini adalah berdasarkan SOP yang dikeluarkan oleh MKN bertarikh 14 Oktober 2020. SOP sebelum ini tidak terpakai kecuali SOP PKPD yang sedia ada untuk sepuluh (10) lokaliti yang sedang melaksanakan PKPD.

Saya ingin memaklumkan bahawa pengusaha peniaga dalam sektor ekonomi, industri dan perniagaan tidak perlu lagi memohon kebenaran kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah (COVID-19) untuk kebenaran beroperasi". 

Masidi yang juga Menteri Kewangan II, berkata semua arahan atau SOP yang diumumkan sebelum ini di 11 daerah yang lebih awal melaksanakan PKPB adalah terbatal.

Katanya, hanya aktiviti pasar malam, pasar tani dan tamu, premis hiburan seperti kelab malam, pub, panggung wayang dan pusat perjudian serta rumah urut, pusat refleksologi dan rawatan muka dilarang sepanjang PKPB.

Dalam pada itu, Masidi berkata sebanyak 304 kes baharu Covid-19 dicatatkan di Sabah hari ini selain 3 pesakit dilaporkan meninggal dunia.

“Jumlah kumulatif kes COVID-19 di negeri ini adalah sebanyak 5,797 kes. Sehingga hari ini, seramai 2,322 pesakit dilaporkan telah sembuh dan pada hari ini, seramai 3,429 pesakit sedang menerima rawatan di dalam wad.” katanya

 

 

3 Comments