Jangan panik, kekal tenang, peningkatan kes positif Covid-19 hasil saringan bersasar- Masidi
19:10 Oct 17, 2020  |  By SabahKini2
Jangan panik, kekal tenang, peningkatan kes positif Covid-19 hasil saringan bersasar- Masidi

Sekalipun kes terus meningkat di Sabah, rakyat diseru jangan panik dan bertenang. Peningkatan kes positif COVID-19 di Sabah adalah disebabkan hasil saringan lapangan yang diperluaskan serta bersasar di 11 kawasan jangkitan.

KOTA KINABALU: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan dan Menteri Kewangan II Datuk Seri Masidi Manjun meminta rakyat Sabah supaya tidak panik dan kekal tenang susulan peningkatkan kes positif COVID-19 setiap hari di negeri itu.

Peningkatan kes positif COVID-19 yang tinggi setiap hari di Sabah adalah disebabkan hasil saringan lapangan yang diperluaskan serta bersasar di 11 kawasan jangkitan.

"Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 di negeri ini pada Sabtu adalah sebanyak 451 kes menjadikan jumlah kumulatif kes sebanyak 6,737.

"Manakala empat kematian dilaporkan hari ini selain 2,596 pesakit dilaporkan sembuh dan 4,086 masih menerima rawatan.

"Sesungguh laporan harian ini agak tinggi, rakyat diminta tidak panik dan kekal tenang," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Masidi berkata, 11 kawasan jangkitan itu meliputi daerah zon merah iaitu Tawau, Lahad Datu, Semporna, Kunak, Tuaran, Penampang, Putatan, Kota Kinabalu, Sandakan, Papar dan Kota Belud.

Masidi turut memaklumkan  beliau akan mengadakan sidang media setiap hari bermula esok (18 Oktober) bagi memberi status terkini penularan COVID 19 di Sabah.

Mengenai bantuan makanan, beliau berkata, sebanyak 42,580 bakul makanan telah diagihkan kepada golongan sasar.

 

3 Comments