Rela dibenci tetapi tidak akan tergoda cadangan keluarkan RM10 ribu kata CEO KWSP
14:11 Nov 12, 2020  |  By SabahKini2
Rela dibenci tetapi tidak akan tergoda cadangan keluarkan RM10 ribu kata CEO KWSP

Saya menjadi orang paling dibenci di Malaysia sekarang kerana membuat keputusan yang tidak popular, biarlah orang kecam saya tetapi akan jalankan tugas saya untuk melindungi masa depan ahli..

KUALA LUMPUR: Sekalipun diasak dengan cadangan pengeluaran RM10 ribu dalam akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bertegas tidak akan mudah meluluskan pengeluaran itu atas alasan tidak mahu menggadaikan masa depan ahlinya.

Ketua Pegawai KWSP Tunku Alizakri Alias berkata, pihaknya mendengar dan meneliti semua pandangan pelbagai pihak sebelum memutuskan pengeluaran akaun terbabit yang masih dalam peringkat perbincangan bersama Kementerian Kewangan.

“Kita akan melihat semua aspek secara menyeluruh dengan mengimbangi keperluan semasa ahli sebelum membuat keputusan rasional yang bukan saja akan menyelesaikan masalah hari ini tetapi menjamin kelestarian masa depan ahli.

“Semua perincian termasuk syarat, kaedah serta siapa yang layak akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya

Tunku Alizakri Alias menggambarkan tekanan termasuk ahli politik yang sebulat suara menyokong pengeluaran RM10,000 dari Akaun 1 sebagai perkara biasa dan dia tidak mungkin terpengaruh dengannya.

“Saya faham ramai orang marah, bimbang, rungsing kerana kesan pandemik ini yang tidak pernah berlaku kesan sebesar ini.

“Saya menjadi orang paling dibenci di Malaysia sekarang kerana membuat keputusan yang tidak popular, biarlah orang kecam saya tetapi akan jalankan tugas saya untuk melindungi masa depan ahli.

“Ya, kita mendengar semua pandangan, tetapi kita tetap berpegang teguh dalam membuat satu keputusan yang tidak akan menggadaikan masa depan ahli kerana keutamaan kita hanya berkhidmat untuk ahli tidak berkait rapat perkara lain termasuk tekanan politik sekalipun,” katanya.

Jika terdesak sekalipun, katanya, pengeluaran Akaun 1 akan menjadi jalan penyelesaian terakhir berikutan besar kesannya kepada ahli jika pengeluaran dilakukan pada masa ini.

“Kita ambil contoh jika seseorang ahli yang mengeluarkan RM10,000 itu kini berusia 30 tahun dan dijangka bersara pada usia 60 tahun, dia akan terkesan tiga kali ganda akibat pengeluaran itu.

“Mengikut rekod KWSP, 43 peratus atau 5.38 juta ahli mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000 dalam Akaun 1 manakala 54 peratus atau 137,000 daripada 254,000 ahli berusia 54 tahun pada 2020 mempunyai simpanan kurang daripada RM50,000.

“Jadi, seharusnya pengeluaran KWSP menjadi pilihan terakhir apatah lagi kerajaan kita juga menyediakan pelbagai kemudahan bantuan bagi membantu kelangsungan rakyat ketika berdepan situasi Covid-19 ini,” katanya.

Mengadu dengan Perunding

Beliau berkata, ahli berpeluang mendapatkan khidmat nasihat perunding kewangan bertauliah seperti KWSP, Agensi Kauseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) serta Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk membantu menguruskan masalah kewangan dihadapi mereka.

“Ya, ini wang anda (ahli), tetapi buat keputusan yang betul dan jangan terburu-buru jika kita tidak membuat keputusan yang baik hari ini ia akan jejaskan masa depan.

“Bukan saya kata jangan (keluarkan Akaun 1), tetapi kita hendak pastikan ahli buat keputusan rasional dan baik yang mengimbangi semua aspek termasuk untuk hari ini dan akan datang iaitu keluarkan untuk keperluan saja.

“Dalam keadaan genting ini, pastikan ahli merancang dan tahu berapa perbelanjaan keperluan dan keutamaan dalam masa terdekat ini sebelum memutuskan membuat pengeluaran,” katanya.

Kecaman netizen

Bagaimanapun reaksi CEO KWSP itu mendapat respon negatif netizen terutama ahli KWSP.

Kok Wee Leong dalam facebooknya mengecam CEO KWSP

“Jangan cakap masa depan kalau masa terkini tak boleh tak dapat selesai,kita memang tak ada masa depan”. katanya

Som Chai Nak berkata ‘Yang berucap semua dalam TV tu semua  gaji besar. Tak merasai keperitan hidup seperti rakyat biasa di luar. Bukan nak keluarkan semua wang itu. Luluskan ikut percentage. CONTOH 10% daripada akaun 1, maksimum 10k. Habis cerita. Jangan kedekut duit rakyat”.. katanya

 

 

 

38 Comments