Adun Bugaya Manis Muka Meninggal Dunia
16:11 Nov 17, 2020  |  By SabahKini2
Adun Bugaya Manis Muka Meninggal Dunia

Jenazah Allahyarham sedang diuruskan untuk disembahyangkan di Masjid Bandaraya, Kota Kinabalu sebelum dijangka dibawa pulang ke Semporna hari ini

SEMPORNA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bugaya, Manis Muka Mohd Darah, 65, meninggal dunia di Hospital Gleneagles di sini tengah hari ini.

Perkara itu disahkan Naib Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) Datuk Jaujan Sambakong ketika dihubungi sebentar tadi.

"Jenazah Allahyarham sedang diuruskan untuk disembahyangkan di Masjid Bandaraya, Kota Kinabalu sebelum dijangka dibawa pulang ke Semporna hari ini juga," katanya.

Manis Muka, yang juga Ketua Wanita Parti Warisan Sabah (WARISAN) Semporna mempertahankan kerusi DUN Bugaya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini dengan majoriti 6,005 undi selepas mendapat 8,557 undi dalam saingan tujuh penjuru mengalahkan calon Perikatan Nasional (PN), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS), Parti Cinta Sabah (PCS) dan dua calon Bebas.

Beliau aktif dalam politik sejak 1985 dan pernah memegang jawatan Ketua Wanita UMNO Bahagian Semporna, sebelum menyertai WARISAN.

 

1 Comment