Kes COVID-19 Sabah dijangka naik mendadak susulan saringan Telipok, Numbak
15:11 Nov 21, 2020  |  By SabahKini2
Kes COVID-19 Sabah dijangka naik mendadak susulan saringan Telipok, Numbak

Menurut Masidi, JKNS masih membuat saringan COVID-19 di dua kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) itu yang mempunyai penduduk padat sekitar 21,000 orang.

KOTA KINABALU- Kes baharu COVID-19 di Kota Kinabalu dijangka naik mendadak apabila keputusan ujian saringan di Penempatan Telipok dan Kampung Numbak di sini diperoleh dalam masa terdekat, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun. 

Masidi yang juga jurucakap rasmi COVID-19 Kerajaan Negeri Sabah berkata Jabatan Kesihatan Negeri Sabah masih membuat saringan COVID-19 di dua kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) itu yang mempunyai penduduk padat sekitar 21,000 orang. 

"Kota Kinabalu mencatat kes baharu tertinggi COVID-19 hari ini dengan 109 kes daripada keseluruhan 346 kes seluruh negeri Sabah.

Sebanyak 36.71 peratus atau 127 kes baharu dari Kota Kinabalu, Lahad Datu, Sandakan dan Kudat yang berpunca dari saringan dibuat ke atas kontak rapat," katanya menerusi satu kenyataan di sini malam ini.

Masidi berkata jumlah katil untuk merawat pesakit COVID-19 di negeri ini masih mencukupi kerana hanya 36.09 peratus daripada keseluruhan 6,576 katil digunakan.

"Jumlah kapasiti katil di Hospital COVID-19 adalah sebanyak 1,007 katil, sementara di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko adalah sebanyak 5,569 katil," katanya. 

Comment