SKMM lepaskan sekatan Sarawak Report zaman PH takkan kerajaan BN-PN portal Sabahkini2.com kekal disekat!
15:10 Oct 02, 2022  |  By SabahKini2
SKMM lepaskan sekatan Sarawak Report zaman PH takkan kerajaan BN-PN portal Sabahkini2.com kekal disekat!

Kerajaan PH membuka sekatan Sarawak Report pada mei 2018. Hingga kini SR hari-hari hentam keluarga TYT Sarawak. Portal Sabahkini2.com disekat Kerajaan PH pada Jun 2019. Sekalipun bertukar kerajaan dari PH ke PN dan kini BN-PN Sabahkini2.com kekal disekat

Sejak perubahan kerajaan Mei 2018 dari BN kepada Pakatan Harapan (PH) kami Sabahkini2.com berhadapan dengan cabaran untuk mempertahankan apa yang diasaskan sejak penghujung tahun 2017 ini. 5 tahun Sabahkini2 kekal hingga kini walaupun silih ganti bertukar kerajaan. Portal yang seangkatan dengannya sudah lama berkubur.

Kami memahami tugas Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) mengikut kerajaan semasa. Portal Sarawak Report kitab suci PH milik Claire Rewcastle-Brown disekat pada Julai 2015 atas laporannya mengenai 1MDB. Sejak itu portal Sarawak Report hanya boleh dilayari menggunakan VPN atau IP tertentu.


Namun ketika kerajaan Pakatan Harapan berkuasa pada 18 Mei 2018 Menteri PH mengarahkan SKMM membuka sekatan kepada Sarawak Report. Sarawak Report hingga ke hari ini boleh dilayari tanpa VPN. Kita memahami kerana kerajaan yang berkuasa ialah Kerajaan Pakatan Harapan.

 

ARAHAN PELEPASAN SEKATAN SARAWAK REPORT

Tekanan dari kerajaan PH-Warisan begitu kuat. Begitu juga laporan pemimpin dan penyokong PH terhadap pihak berkuasa berhubung laporan portal ini yang mungkin tidak menyenangkan pelbagai pihak.  Ada yang suka dan ada yang tak suka. Walau apapun pandangan Sabahkini2 adalah satu dari alternatif yang berbeza dari apa yang disampaikan oleh media pro kerajaan atau pro pembangkang.

Ada Ahli Parlimen Warisan yang tidak tahan dikritik kerana rasuah dan kronisme mengusulkannya di Dewan Rakyat, aduan rasmi dan juga laporan berita TV. Belum masuk tekanan dan surat saman yang diemelkan kepada ketua editor. 

 

Ahli Parlimen Kalabakan Warisan YB Ma’mum Sulaiman mengaku adik urus projek namun
selepas didedahkan beliau bangkit dan membawanya dalam Dewan Rakyat

 

SKMM bawah Pakatan Harapan Sekat Sabahkini2

Titik hitam Sabahkini2.com ialah apabila menyiarkan skandal video yang mengaitkan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali bersama pimpinan PKR - Haziq Aziz pada pertengahan Jun 2019. Azmin merupakan Menteri PH kesayangan Tun M ketika itu. Kami akur ia satu kesalahan kerana berbaur sex kerana video itu tidak disunting atau ditutup. Bagaimanapun ramai mencari kebenaran ketika itu sehinggalah siasatan penuh dilakukan oleh pihak berkuasa.

 

Sabahkini2 telah memadam artikel dan video dalam tempoh 24 jam 


EDITION7: Mengenai sekatan Sabahkini2.com 12 Jun 2019

Pengerusi SKMM ketika itu  Al-Ishal Ishak memberi amaran dan menutup portal Sabahkini2 dan mengarah memadamkan artikel serta video itu.

Kami akur kesilapan itu dan memadam semua kandungan itu sehinggalah Sabahkini2 dibenarkan beroperasi semula namun kekal dengan sekatan pada talian Maxis.

Kami juga berhadapan dengan laporan lain kepada Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) bagi pemadaman artikel tertentu melibatkan Menteri Pakatan Harapan, bekas menteri dan pemimpin PH. Kami akur dan menghormati arahan SKMM melalui emel yang disampaikan kepada kami. 

Tidak mengapalah itu SKMM di zaman Kerajaan PH kita faham mengenainya. Normal pemimpin PH marah dan tidak berpuas hati.


SKMM bawah BN-PN sekat Sabahkini2

Portal Sarawak Report boleh diakses semula di zaman PH namun  SKMM di zaman kerajaan Perikatan Nasional dan kini Kerajaan Ismail Sabri tetap terus mahu menyekat Sabahkini2.com.

Malah lebih teruk menyekat semua saluran alternatif yang disediakan. Mengapa begitu? Apa yang hendak ditakutkan dengan portal Sabahkini2.com? Nampaknya PH tak perlu bersusah payah kerana Kerajaan BN-PN boleh melakukannya bagi pihak Pakatan Harapan.

Menterinya daripada UMNO BN iaitu Tan Sri Annuar Musa dan Timbalan Menterinya Datuk Zahidi Zainul Abidin. ‘Tapi takkan sekutu  sendiri  di zaman Kerajaan Ismail Sabri pun nak disekat'.  Kita berharap para Menteri dan rakan pegawai-pegawai Perdana Menteri atau Menteri sekarang lihatlah juga keadaan ini. PRU -15 dah dekat dan kami membantu atas kapasiti kami.

Walau apapun cabaran kami hadapi, kami tetap mengucapkan terima kasih kepada warga pembaca yang setia bersama kami termasuk warga 'pembenci' dan 'marah-marah sayang' kepada Sabahkini2. Tanpa anda, tiadalah tular dan tersebarnya informasi kepada rakyat serta maklumat yang sampai kepada pihak kerajaan. Tanpa maklumat anda tak mungkin penjawat awam yang bermasalah dapat ditukar segera untuk membantu kerajaan pusat atau negeri. 

Tidak dinafikan banyak juga laporan daripada Sabahkini2 diambil perhatian oleh kerajaan, penguatkuasa dan pelbagai pihak. Jika ia mungkin tidak benar sewajarnya pihak berkaitan melaporkan kepada pihak berkuasa namun berdasarkan laporan dan pendedahan dokumen banyak juga isu yang dibawa ke mahkamah seperti kes rasuah Datuk Peter Anthony dan Michael Ubu. Kes RISDA dibuka semula dan didakwa. Kes rasuah Shafie Apdal dan rumah mewahnya.  Kes RM1.5 bilion JKR oleh Peter Anthony Warisan sehinggalah kes Peter menipu dokumen projek Asli Jati Engineering di UMS yang akhirnya Peter disabitkan bersalah di mahkamah.  Banyak lagi laporan yang tidak dapat disebutkan di sini.

Rakyat bukan bodoh, mereka bijak menilai di zaman rakyat akses maklumat setiap dari mereka adalah pelapor atau 'wartawan' yang akan melaporkan apa yang mereka suka atau tidak.

Ini zaman media terbuka. Jika Menteri atau penjawat awam bersalah maka media tidak boleh lapor? Tidak boleh didedahkan salahlaku penjawat awam berjawatan besar JUSA dan lain-lain? Tidak boleh dilaporkan kegagalan 1BestariNet atau jika YTL dapat projek gentian optik yang diluluskan oleh Menteri Kewangan sedangkan terbukti meminggirkan syarikat daripada Sabah yang layak.

Jika lapor maka SKMM akan sekat? Misalnya isu KSU atau isu pegawai MARAcorp dengan segala butiran salahlaku membayar elaun kepada diri sendiri sehingga kes itu didakwa baru-baru ini di mahkamah. Ia bukanlah palsu ia kebenaran pahit yang perlu penjawat awam hadapi.

Jika Sabahkini2 memperjuangkan hak-hak Sabah melalui pemimpin dan Kerajaan GRS sekarang maka ini juga adalah salah? Mempertikaikan Tengku Zafrul Menteri Kewangan kerana tidak adil dalam memberi peruntukan kepada Sabah Sarawak dianggap sebagai salah? Mengapa portal atau page FB pro PH yang menghentam kerajaan tidak disekat? Tak mungkin pegawai SKMM masih pro Pakatan Harapan seperti mereka berkuasa zaman PH. 

Cuba baca laporan Sarawak Report sekarang yang diberi pelepasan SKMM hari-hari menyerang keluarga Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud. Serangan semacam Sarawak Report ni ok ke di mata SKMM? Boleh ke Sarawak Report berbuat demikian? Tiada laporan polis kerajaan negeri Sarawak atau Tun Pehin Sri TYT terhadap Sarawak Report maka tak mengapa semua ok.

Kami sangat mengelak menulis mengenai SKMM. Sebaiknya kami sekian lama memuji segala usaha SKMM termasuk kejayaan projek atau peranan mereka namun dengan terus memberi tekanan menyekat Sabahkini2 dan memberikan Sarawak Report berleluasa tidaklah adil sejak jun 2019. Dah masuk hampir 4 tahun!.

Kami hanya menawarkan aduan alternatif kepada rakyat. Kepada rakyat yang merasa ditindas oleh pemimpin, wakil rakyat, ahli korporat atau sesiapa saja kami menyediakan platform untuk mereka secara percuma. Dengan dokumen dan bukti mencukupi melalui emel  kepada [email protected] Kami tiada masalah menyiarkannya.

Kami berharap SKMM bertimbang rasa di zaman Kerajaan Ismail Sabri ini. PRU ke 15 hanya tinggal bulan oktober saja.  Kami boleh membantu sekadar mana yang termampu kepada kerajaan. Kami sudah diberi tekanan di zaman Pakatan Harapan sehingga sekatan URL serta bermacam-macam surat amaran lagi. 

Takkanlah semua ini akan berterusan sedangkan Sarawak Report yang dedah sana -sini diberi kebebasan dan pelepasan.

Terima kasih atas sokongan anda. Kami kekal bertahan kerana anda!

 

Ketua Editor
Sabahkini2.com

2 Oktober  2022

 

9 Comments